Firman Allah SWT:

“Puasa yang diwajibkan itu adalah beberapa hari yang tertentu, maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari lain; dan wajib atas orang-orang yang tidak berdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membatar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. Maka sesiapa yang dengan suka rela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang ditentukan itu, maka itu adalah sesuatu kebaikan baginya; dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu (daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui)”

Surah al-baqarah : 184

Definisi & Hukum

Fidyah ialah sesuatu yang dibayar untuk menebus diri, baik berbentuk harta atau tindakan lain yang dilakukan kerana kekurangan dalam salah satu amal ibadah. Ayat yang lebih mudah, fidyah merupakan bayaran denda untuk sesuatu amal ibadat yang tertinggal atau dilaksanakan secara tersalah.

Fidyah adalah satu bentuk ibadah (gantian) yang diberi pahala kepada pelakunya. Allah S.W.T berfirman:

“Maksudnya:….. dan wajib atas orang-orang yang tidak berdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin” (Surah al-Baqarah, ayat 184)

Sebab-Sebab Dikenakan Fidyah

Uzur/tua

Lelaki dan wanita yang terlalu tua dan merasa tidak mampu untuk berpuasa dan jika beliau berpuasa akan menimbulkan masaqqah (kesusahan) atau mudarat kepada diri dan kesihatan.

Menghidap sakit kronik

Sakit kronik ialah sakit yang berpanjangan dan tiada harapan sembuh menurut pengalaman atau pengesahan dari pakar perubatan.

Wanita mengandung dan menyusukan anak

Wanita yang mengandung dan menyusukan anak sekiranya meninggalkan puasa kerana khuatir keselamatan anaknya, maka ini wajib ke atasnya membayar fidyah dan juga qada’ bagi setiap hari puasa yang ditinggalkan menurut Jumhur Fuqaha selain Mazhab Hanafi.

Melewatkan qada’ puasa

Orang yang menangguhkan qada’ (ganti) puasanya sehingga tiba bulan ramadhan berikutnya, maka ia dikenakan fidyah bagi setiap hari yang ditangguhkan. Ini merupakan pendapat Jumhur Fuqaha yang terdiri daripada Mazhab Maliki, Syafii dan Hambali.

Taksiran & Kadar

TAKSIRAN FIDYAH

(Hari yang ditinggalkan) X (Tahun gandaan) X (1 Cupak) = FIDYAH

KADAR BAYARAN FIDYAH

Kadar bayaran fidyah bagi satu hari puasa yang ditinggalkan ialah satu cupak beras yang boleh dibuat zakat fitrah (1/4 gantang Baghdad).

Dalam bentuk nilaian, kadar yang ditetapkan oleh Majlis Agama Islam Melaka adalah rm1.80

Pengagihan bayaran fidyah akan dibuat oleh Bahagian Agihan Zakat, MAIM kepada fakir dan miskin yang berdaftar.

Contoh:

Jika seseorang meninggalkan puasa selama 3 hari dan tidak menggantikan puasanya sehingga 3 kali bulan Ramadhan, maka kadar fidyahnya ialah:

RM1.80 (1 cupak) X 3 hari X 3 tahun =RM16.20

* Jumlah hari puasa yang wajib di qadha tetap 3 hari sahaja. Hanya bayaran fidyah sahaja digandakan.

Kalkulator Fidyah

Sila pilih tahun pembayaran fidyah, masukkan bilangan hari tidak berpuasa dan tekan butang KIRA dibawah.

Batal

Bilangan hari
tidak berpuasa

Maklumat Pembayar

Tahun
Bil. Hari
Jumlah
Jumlah Bayaran Keseluruhan RM0.00
Batal dan Kira Semula  
  • Bayaran fidyah boleh dibuat melalui Sistem Perbankan FPX Atas Talian.

Prosedur Bayaran

Perkiraan dan bayaran fidyah boleh dibuat di Baitulmal Majlis Agama Islam Negeri-negeri.

Kadar bayaran fidyah berubah mengikut harga yang ditetapkan oleh pemerintah di sesuatu tempat. Pengiraan kadar fidyah berdasarkan kadar harga beras (makanan asasi penduduk). Beras fidyah tersebut hendaklah diagihkan kepada fakir atau miskin.

Waktu Membayar Fidyah

Fuqaha sepakat menyatakan waktu membayar fidyah bermula sebaik sahaja ibadah berkenaan tidak dapat disempurnakan. Bagaimanapun, waktunya muwassa’ (luas) dan tidak terhad pada satu tempoh waktu yang tertentu. Namun demikian, digalakkan ia disegerakan kerana dikhuatiri tidak dapat dilaksanakan jika bertangguh.

Jika ia tidak sempat ditunaikan oleh orang yang wajib ke atasnya, ia berpindah kepada waris atau walinya. Bagi fidyah puasa yang ditangguhkan hingga menjangkaui Ramadan berikutnya, ia menjadi berganda mengikut pandangan dalam Mazhab Safii.

Pertanyaan

Untuk maklumat lanjut dan pertanyaan

Seksyen MAL
Majlis Agama Islam Melaka
Pusat Islam Melaka, Bukit Palah  75400, Melaka.
No Telefon 06 283 7416, 284 9809 & 283 2077.